About Us

Monday, February 20, 2017

Dah dekat 2 bulan jadi Fulltime housewife. Best ke?

Alhamdulillah..dah masuk 2 bulan jadi fulltime housewife dan juga working at home mom.

best ke?

honest cakap best!! hihi...mana tak best dah boleh duduk rumah. Jaga ank 24 jam. Husband pun sekarang balik kerja boleh sampai awal dari dulu. Kalau dulu kelam kelibut nak ambik anak lagi. Sekarang balik rumah semua benda isteri dah siapkan. Dulu, Sampai rumah pun dah pukul berapa. Lepas tu saya nak bersiap, solat, masak untuk dinner. Dinner pun dah pukul 9 malam. Alhamdulillah...sekarang ni dah teratur semua benda.

Tak sempat lagi nak rasa boring selama 2 bulan ni sebab jadual saya pun sibuk. Nak uruskan rumah, uruskan anak, nak uruskan online bisnes. Bila kita berniaga online, memang banyak masa dengan media social sebab situla tempat nak buat marketing, situla jugak kita kena fokus melayan customer yang nak beli barang. Lepas tu nak ambik stock barang, nak packing, nak pos. So, jujur cakap memang tak sempat nak rasa boring sebab masa semua terisi. Namapun bekerja dari rumah. So, still bekerja cuma tak pergi office saja =).

Alhamdulillah..lepas berhenti ni, income dari bisnes pun bertambah berbanding masa buat part time dulu. Sebab dah fokus 100% & fulltime. So, nak taknak memang dari situ je income yang ada sekarang. Kena rajin & fokus. Alhamdulillah, cukupla untuk bayar hutang, perbelanjaan & buat simpanan.

Masa dengan anak pun rezeki tak terhingga dah untuk saya. Memang feel tu rasa lain sangat bila boleh bersama dengan dia 24 jam. fayyadh pun makin manja sekarang ni. nak mama saja 24 jam. hihi..Macam tu jugak dengan rezeki masa. banyak benda yang saya tak sempat nak buat masa kerja makan gaji dulu dah banyak boleh buat sekarang ni. Bila kita kerja sendiri ni, rasa kebergantungan kita pada Allah swt tu makin kuat.

Fayyadh pun Alhamdulillah makin sihat sekarang. Cuma, sakit tonsil dia tu masih ada. Cuma dah tak kerap sakit macam dulu. Happy & syukur sangat saya dan husband.

Fayyadh dah start gain weight balik dah.


Ikutkan perancangan berhenti kerja ni sementara je. Sampai fayyadh betul2 sihat. Tapi tak tahulah macam mana nanti. Bukan sebab duit ke apa, tapi soal hati dan harapan keluarga pun nak kena jaga dan fikirkan jugak. Sekarang ni fokus apa yang ada depan mata. Apa yang jadi future saya tawakal. Ikut je flow sekarang ni. At least saya dah cuba yang terbaik kan?

Tapi, awal2 duduk rumah ni memang pengurusan masa saya semua kelaut, hahaha...tak teratur bab nak manage time. mana nak kena buat dulu hari tu. kadang boleh tertangguh masa bila kita sibuk buat benda lain yang takde dalam jadual. Contoh kalau tengah layan customer kan, Ambil masa panjang jugak. tapi dah namapun peniaga fulltime, so kita kena bagi layanan yang baik tak kiralah dia jadi beli atau tak. yang penting, service kena jaga =). So, next month, hope semua dah teratur. sekarang pun dah boleh bajet masa sikit2. bila hari2 duduk rumah kita dah boleh agak. waktu bila paling baik buat kerja itu dan ini.

Sekarang ni, salah satu terapi saya bila duduk rumah, tanam pokok. Setiap hari akan luangkan masa untuk siram & jaga pokok-pokok yang saya & husband tanam. Adala tanam pokok sayur sikit2 dalam pasu macam sawi & kangkung. lepas tu tanam pokok yang selalu guna dekat dapur macam pandan, serai, daun kari, daun limau purut, kesum, kunyit dan lain-lain. Senang bila nak guna masak, petik je dekat luar. Boleh jimat belanja dapur jugak

Pokok kangkung 

Monday, February 6, 2017

Throwback 2016

Dah sebulan  lebih masuk tahun 2017. Baru sempat nak update blog. Huhu...Walaupun dah lambat, tapi tetap jugak nak buat throwback untuk tahun 2016. Kita mulakan update blog di tahun baru dengan sesi throwback dulu ok?

1. SLOW DOWN DALAM MEDIA SOCIAL

Tahun 2016 ni dikira tahun  paling saya slow down dalam media social. Tak kirala dekat Fb ke, dekat Instagram ke atau dekat blog. Memang kurang sikit aktif. Banyak benda lain yang saya perlu fokus termasukla hal kerja & family. Kira Tercapaila azam tahun 2016 nak kurang aktif dalam media social. Huhu..tapi start hujung tahun 2016 saya dah mula aktif balik. Sebab saya mula terfikir, if saya menulis atau share benda-benda yang saya rasa bermanfaat untuk orang lain, why not saya terus berkongsi kan? lagipun saya dapat banyak jugak email dari pembaca blog yang tanya pasal hal renovate rumah, pasal persiapan kahwin, pasal anak yang kena sawan tangis, pasal berastfeeding, pasal tempat bersalin dan ada jugak yang tanya bila saya nak update blog? hihi...saya ada jer ni. Cuma  kekangan masa sikit nak meng "update" cerita. Disebabkan permulaan tahun 2017 ni dah pegang title "fulltime housewife" dan "working at home mom" , so rasa malu dan segan tu saya kenala buang jauh-jauh. Nak tak nak memang kena banyak mengadap media social hari-hari sebab situla tempat saya mencari rezeki. Sekarang ni saya dah buat instagram baru.  So, kalau apa-apa yang saya lambat nak update dekat blog saya akan share secara ringkas dekat Instagram. Sebab senang & cepat sikit boleh update. So, pada yang sudi bolehla follow Instagram baru saya. Hihi..in sha Allah kalau tak sempat update cerita dekat sini, saya akan update dekat sana. Ig saya atas nama:



2. ANAK

Masih Fayyadh seorang je permata hati saya dan husband. Alhamdulillah...bersyukur sangat atas rezeki anak yang satu ni. Ikutkan, kami suami isteri teringin nak dapat anak lagi, cuma belum ada rezeki. Yela, Fayyadh pun tahun ni dah masuk 3 tahun. Boleh sangat dah nak dapat adik. Kita just boleh berusaha & berdoa selebihnya rezeki tu datang dari Allah jugak. Disebabkan kesihatan Fayyadh pun tak berapa baik sepanjang tahun 2016 ni, kami anggap ada hikmahnya juga kami belum dikurniakan anak lagi. Think Positive. Mungkin Allah nak kami bagi perhatian yang lebih pada Fayyadh sebab keadaan kesihatan dia. Atas sebab tu jugala saya ambil keputusan untuk berhenti kerja. Nak bagi tumpuan sepenuhnya pada Fayyadh. Fokus kami sekarang ni hanya pada Fayyadh. berharap sangat tahun 2017 ni kesihatan dia bertambah baik. Amin...

Alhamdulillah..lepas sebulan mama jaga sepenuhnya, Fayyadh dah bam-bam semula, Hihi..



3. PINDAH RUMAH BARU 

Tahun duit keluar macam air!! hihi....But worth it la sebab akhirnya dapat juga pindah masuk rumah sendiri. Even rumah kecik jerpun tapi rasa happy tu Allah je tahu. Lepas penat mencari rumah, berusaha kumpul duit nak bayar itu ini, renovate sikit-sikit, habis banyak masa dan wang ringgit, rasa semua penat tu hilang terus bila dah pindah masuk bulan 6 tahun lepas. Tapi masih banyak benda tak settle lagi yang dalam rumah. Hihi..bab deco semua tu. Slow2 buat. Sebab masa masuk dulupun duit dah banyak habis. so untuk deco-deco, kita buat sikit2. Lagipun saya bukan yang jenis pandai mendeco sangat. so idea tu kena cari2 jugak. hihi...banyak kena bincang dengan husband. Kiteorang jenis yang suka simple2 jer.

ulang tayang masa tengah renovate dulu


4. JALAN_JALAN

Tahun 2016 tahun sibuk untuk kami. Husband busy dengan kerja dekat site dia sampai nak cuti pun susah sikit. Sabtu atau ahad pun kena datang kerja. Lepas tu bila start nak dapat kunci rumah dah mula sibuk cari barang, nak renovate rumah semua. memang super busy. So, kiteorang takde masa sangat nak bercuti jauh-jauh melainkan balik kampung atau jalan dekat-dekat. Bila dah settle pindah rumah barula fikir pasal holiday. sebab penat kan. Hihi..nakla pergi jalan-jalan. Kiteorang pergi Krabi je yang jauhpun untuk last year. Dah lama teringin nak gi, tahun lepas baru sampai. Best jugakla Krabi. Laut cantik, makanan pun sedap.





5. NAK KURUS!

Alhamdulillah...lepas azam ni carry forward dari tahun baru 2013 sampaila ke tahun 2016 barula tercapai. Tupun bukanla kurus lagi. Cuma dah achieve target nak berat bawah 60kg. hihi..satu pencapaian terbesar la saya untuk tahun 2016.


So, tahun ni berazam lagi untuk capai target nak weight 55kg. Hihi...Ok bab nak kurus ni nanti saya story ok. panjang lebar ceritanya, So, saya akan tulis dalam lain entri.Saya akan share pasal ni untuk mereka yang tengah berusaha nak kuruskan badan.


6. BISNES & KERJAYA

Tahun 2016 ni tahun yang agak slow pasal bisnes. Cuma bila dah hujung2 tahun baru aktif balik. satu, sebab sibuk dengan kerja office. So, takde masa nak update Ig atau FB bisnes. Kadang pernah sebulan takde update apa2. harapkan mana customer yang whatsapp je tanya. Tapi Alhamdulillah, ada jugak rezeki dari sini. Lepas tu masalah kekurangan stock & dapatkan design yang ok dari supplier jugak. So, hujung tahun lepas dah tukar supplier lain. Alhamdulillah..stock dah senang dapat compare dulu. So, start hujung tahun lepas memang dah aktif balik sebab dah fokus 100% dengan bisnes je. Hihi..

Tahun lepas, last kerja makan gaji. Sedih...Allah je tahu macam mana perasaan last day dekat office.  Menangis la jugak. Bukan sedih sebab tak suka duduk rumah. Haish...saya lagila suka nak berhenti sebab dah tak sabar nak jaga Fayyadh sendiri. Sedih sebab nak tinggalkan kawan2 yang baik2. Tu jer,..hihi. Kalau ada rezeki lepas fayyadh sihat nanti nak kerja balik, Tapi tak tahula bila. Tahun ni atau tahun depan. Bergantung pada keadaan jugak. Sebab kalau boleh nak cari tempat kerja yang dekat dengan rumah. 


Last day dekat office =)


Ok. Tu je kot yang nak throwback untuk tahun 2016 ni. In sha Allah lepas ni saya kan cuba aktif menulis blog balik. Cuma biasala baru2 duduk rumah ni. kelam kelibut lagi bab uruskan masa. Mintak2 bulan ni dah makin ok semuanya. Pray for me! 

Thursday, January 26, 2017

Kembalinya Bapa Mertua ke Rahmatullah..

Pembukaan tahun 2017 yang penuh duka untuk family kami. Perginya bapa mertua saya (abah) untuk selamanya. Kehilangan yang cukup besar untuk kami sekeluarga. Innnalillahiwaiinailaihirajiun...Semoga roh abah dicucuri rahmat dan sitempatkan dikalangan orang beriman.

Lepas Fayyadh keluar hospital isnin, 21 November 2016, esoknya abah pula terkena stroke.Bergegas kami balik kelantan malam tu. Tak tahu nak describe macam mana rasa takut time tu bila doktor bagitau ada darah beku dekat otak abah. Jantung abah lemah ( abah memang ada sakit jantung before ni), keadaan pun tak stabil. Seminggu jugak kami dekat kelantan masa ni melawat abah setiap hari dekat hospital. Lepas tu, bila dah start kerja, kami balik hujung minggu melawat abah. Ada masa husband balik seorang sebab time tu kesihatan Fayyadh pun tak berapa baik. Abah sedar masa dekat HDU, cuma tak boleh bercakap. Tapi bila kita tanya soalan, dia faham dan akan angguk atau geleng kepala. Bila kita genggam tangan dia, dia akan balas balik dengan genggam kuat-kuat. Sayu tengok keadaan abah. Abah nampak lemah, makin kurus sebab sepanjang dekat HDU hanya boleh minum susu. Tupun dimasukkan melalui tube.



Sepanjang abah dekat sana, ummi dan adik-adik sentiasa ada dengan abah. kami saja yang tak boleh bersama dengan abah setiap hari sebab bekerja jauh. Hujung minggu saja dapat balik ke sana. Kagum tengok ketabahan ummi yang setiap masa bersama abah. Ummi nampak kuat. Jaga abah. Jaga adik-adik. 45 hari abah dekat  HDU, Allah jemput abah kembali kepada-Nya pada pagi jumaat, 13.01.2017. Kesedihan yang Hanya Allah swt saja yang tahu. Bergegas kami balik kelantan dengan flight masa ni. sebab takut lambat sampai. Alhamdulillah, kami sempat jumpa jenazah abah sebelum disemadikan, walaupun ada rasa terkilan sebab tak dapat berada dengan abah saat-saat abah hembuskan nafas terakhir, tapi kami redha. Allah lebih sayangkan abah. Abah pergi dengan tenang pada hari yang penuh barakah.

Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa-dosa abah dan tempatkan abah dikalangan orang beriman, Semoga kita semua dapat berjumpa semula di syurga kelak. Amin... Al-Fatihah untuk abah.




Thursday, December 15, 2016

Berhenti Kerja Dan jadi Fulltime Housewife

Salam Korang..

Ikutkan nak berhenti kerja ni bukan keputusan yang sewenang-wenangnya saya nak buat. Tambah kalau masih ada hutang2 & komitmen lain yang nak kena bayar setiap bulan. Hmm...sayapun bukan yang jenis suka duduk dekat rumah sangat dari kecik. Even time cuti sekolah atau cuti sem ada je aktiviti nak buat dekat luar. Habis spm sementara tunggu result, buat kerja part time. Masa semester break dekat U dulupun saya  ambik short course ataupun bekerja. Sebelum dapat final year result pun saya dah kerja. Dapat result saya tukar kerja lain yang sesuai dengan kelayakan. Tak pernah lagi rasa mengangur atau duduk dekat rumah lama-lama. Alhamdulillah, rezeki saya sama. lepas habis belajar terus ne dapat kerja. Tak sempatpun balik rehat2 dekat kampung.


Bulan 1 nanti genaplah 6 tahun saya kerja makan gaji. Kejap je kan masa berlalu dah masuk 6 tahun dah pun. Even saya pernah pasang impian nak jadi fulltime housewife, tapi takdela se drastik sekarang. At least lepas kehidupan dah stabil & habis bayar hutang yang ada. Tapi tahun ni rasa nak berhenti kerja tu jadi kuat sangat. Semuanya sebab anak.




Sebabkan condition kesihatan Fayyadh tak berapa baik, almost setiap bulan dia sakit saya jadi takut dan risau. Risau kalau apa2 jadi dekat fayyadh even sakit dia bukanla kategori serius sangat. Tapi bila kerap sangat sakit, memang sangat2 mengangu kehidupan harian dia. Dia jadi susah nak makan dan minum. Fayyadh ada tonsilitis sejak baby lagi. Bukan yang biasa. Tonsilitis dia dalam kategori tak normal & serius jugak.  Almost setiap bulan tonsil dia bengkak. Kerap demam. Kerap dapat infection. Usia dia baru 2 Tahun 9 bulan tapi dah 4 kali dah warded. Semua sebab infection. Muntah2 dan demam yang lama. Dulu masa dia bawah 2 tahun dia kerapa muntah berhari2 sampai lembik. Tupun dah refer hospital.  Yang kiteorang refer hospital jumpa pakar tak terkira berapa kali.  Huhu..Baru2 ni 2 minggu Fayyadh demam. Suhu kalau malam2 sampai 41C . 7 hari kiteorang berkampung dekat wad. Tonsilitis Fayyadh serius jugak kali ni. Bukn setakat tonsilitis, mulut dia pun kena infection sama sampai bengkak gusi dan penuh ulcer. Demam dia susah nak kebah. Dia tak boleh makan, minum & bercakap. Memang banyak masuk antibiotik. Tupun try & error sampai jumpa yang ok. Perasaan saya jangan cakap la... Tengok anak menjerit & menangis tak boleh nak minum air saya pun nangis sama. Masa dekat hospital ni la saya sepenuh hati nekad nak berhenti kerja. Saya tak sanggup nak tengok Fayyadh terus macam ni setiap bulan. Saya tak kuat (T_T).

Gambar contoh- Tonsil Fayyadh kadang akan bengkak macam bola seperti dalam gambar


Masa saya tengah jaga Fayyadh, Saya pun terjangkit sama. 5 hari demam panas dan tonsil bengkak. Masya Allah. Memang sakit betul tonsilitis ni. Sakit ya amat. Tu first time saya rasa. Tambah sakit, sebab saya kena yang jenis ada ulcer / nanah. sampai gusi pun bengkak sama. Memang sakit ya amat. Mungkin Allah nak saya rasa apa yang anak saya rasa selama ni, supaya lebih memahami sakit anak. Memang saya tak boleh bercakap, tak boleh telan makanan ataupun minum. Even dr dh bagi pain killer pun sakit tu tetap rasa. Macam ada pisau dekat leher. Nak tidur pun susah. Masa ni saya jadi bertambah sedih & kesian sangat dekat  Fayyadh (T_T). Tak tahu mcm mana fayyadh terpaksa tahan sakit setiap bulan sedangkan sy yg tua ni pun tak tahan jgk.  Huhu...Time ni la Saya nekad nak jaga sendiri anak saya sampaila dia sihat.




Doktor cakap selagi saya hantar Fayyadh ke nursery atau tempat yang banyak budak, selagi tulah dia akan berulang sakit. antibodi dia tak kuat. Bila ada budak sakit, dia mudah nak berjangkit sama. Saya dah pernah try beberapa supplement dari yang makan atau pun yang jenis sapu tapi tak berkesan untuk Fayyadh.  Pemakanan Fayyadh pun saya dah jaga. Saya dah cuba sehabis baik untuk protect dia. Memang sediakan hand sanitizer untuk budak punya untuk dia pakai. Tapi mungkin saya kena lebih lagi dalam berdoa dan berusaha buat yang terbaik. Decision untuk berhenti kerja dan fokus pada Fayyadh ni memang seikhlas hati saya buat.

Saya pun dah  kerap ambik cuti. Unpaid leave almost setiap bulan. Sebab cuti tahunan dah habis. Even bergilir dengan husband pun sama jugak. Cuti tak pernah cukup.  Setiap bulan tetap kena cuti. Saya rasa ibu2 yang alami situasi macam saya je faham. Even majikan saya sangat memahami tapi hati dan jiwa tu dah takde dekat tempat kerja. Hari2 saya fikir pasal Fayyadh dekat Nursery. saya tak sabar nak berhenti dan jaga Fayyadh sendiri. Jaga sendiri tak semestinya anak tak sakit, tapi at least dapat kurangkan sikit risiko penyakit berjangkit dan kita dapat kawal anak sepenuhnya.

Saya dan husband rasa berat hati nak biarkan Fayyadh jalani operation buang tonsil dia sebab usia dia yang muda lagi. Dia baru nak masuk 3 tahun. Ni ikhtiar terakhir kami. Kalau saya jaga sendiri pun Fayyadh still sakit , kami akan pertimbangkan untuk dia jalani operation buang tonsil tu. Memang tu last choice. Sebab bergantung pada antibiotic pun tak bagus jugak. Doakan Fayyadh cepat sembuh ya.

Alhamdulillah, bila decision berhenti kerja ni saya buat dalam keadaan tiba2, mujurla saya masih ada backup simpanan untuk beberapa bulan  komitmen saya .  Saya takdela banyak
hutang sangat.  kereta dan ptptn saja. Tapi perbelanjaan bulanan tu kena ambik kira jugak. kena kira yang paling minimum dan anggap sebagai komitmen.  Bila dah biasa ada duit sendiri, kita akan rasa susah dan tak biasa bila dah takde income tetap bulan2. Tupun saving yang ada saya dah banyak jugak  guna untuk renovation rumah kami. So, luckily saya masih ada lagi backup untuk saat2 sukar nanti. Bila dah jadi saya takla risau sangat. Boleh fikir lagi macam mana nak jana income sendiri dari rumah nanti.

Saya plan untuk berhenti kerja sementara. Maybe dalam 6 bulan atau setahun. Bila Fayyadh dah betul2 sihat baru saya kerja balik. In sha Allah..

Lepas ni, saya akan fokus untuk jaga Fayyadh. Doa sangat2 dia cepat sihat. Tak sanggup dah nak tengok dia sakit. Tak kuat sangat rasa. Sambil tu saya fokus jugak pada bisnes online saya, By Adeenda & service sewa veil. Sebelum ni buat part time lepas ni fulltime. Nervous rasa. Kalau boleh memang nak income dari situ je tanpa usik simpanan yang ada. Sikit sebanyak ada jugakla rasa risau dan takut.  Tapi, kata husband, ingat balik nawaitu saya berhenti kerja. nak jaga anak. Soal rezeki serah pada Allah. Kita ikhtiar dan usaha yang  mana mampu, selebihnya tawakal. Letakkan kebergantungan pada Allh swt. Semoga semuanya dipermudahkan..

In sha Allah bulan ni last saya kerja. Disebabkan saya  berhenti pun secara mengejut. so company bagi pelepasan pada saya untuk berhenti tanpa terikat dengan notis 2 bulan. Alhamdulillah..

Bulan 1 nanti akan bermula la life baru saya as fulltime housewife. Doakan kami ya =)

Thursday, December 8, 2016

Jadi Full time Housewife?

Assalammualaikum korang.

Lama tak menulis dekat sini. Almost 3 bulan jugakla  since last entri. Banyak hutang piutang entri dekat blog ni yang tak tertulis. Macam2 jadi dalam kehidupan saya since bulan 10 hari tu. Busy dengan kerja, agak stressful jugak masa tu sampai saya tak dapat nak fokus bisnes lansung. Sampai balik rumah pun fikir hal kerja.  Memang commitment sepenuhnya dengan kerja. Sekarang baru ok sikit dan boleh fokus balik slow2 pada bisnes. Biasala kerja ada masa ok, ada masa ada yang challenging nya. Tapi saya suka kerja saya. Tak pernah terfikir pun nak berhenti kerja dalam masa terdekat. Target paling cepat pun maybe 5 tahun lagi lepas settle segala commitment yang ada & kehidupan lebih stabil. Sebab memang salah satu wishlist nak jadi fulltime housewife pun. Nak fokus pada family.

Tapi since condition kesihatan Fayyadh tak berapa ok sepanjang tahun ni. Latest, dia baru je warded 7 hari dekat hospital hujung bulan 11 hari tu, so saya dah mula rasa tak sedap hati. Bila perkara melibatkan anak, semua benda lain akan tolak tepi. Anak dah jadi fokus utama. Nekad dengan keputusan yang saya buat lepas bincang dengan husband. Mujurla family & family in law pun memahami. Bagi sokongan yang kuat untuk saya.

Jadi full time housewife?

In sha Allah. Semoga Allah permudahkan semuanya buat kami sekeluarga. Mana yang terbaik untuk kami, saya terima. In sha Allah ada masa nanti saya akan sambung menulis pasal ni. Doakan yang terbaik untuk kami =)


Thursday, September 22, 2016

Ourbaitijannati- House Renovation Update- Lampu Dan Kipas

Lampu & kipas adalah benda paling penting bila dah dapat kunci dari developer. Sebab tu awal2 lagi, kiteorang settlekan bab lampu & kipas dulu. Rumah baru siap memang  kosong je la dapat.  Tapi, yang bestnya kita boleh pilih lampu & kipas ikut citarasa kita sendiri. Lepas tu boleh buat plan nak letak lampu or kipas bahagian mana, kira boleh buat wiring plan semula. Even harga kipas dan lampu takdela mahal mana (ikut brand & spec jugak) tapi bila nak kena beli semua serentak dah tentula banyak jugak kos nya.

LAMPU

Untuk lampu semua ruang termasuk bilik dan toilet saya pakai yang jenis downlight LED tu je. Yang jenis attach dekat lantai atas.Ada banyak sebab kiteorang pilih lampu macam ni. First,  sebab lampu dia terang even size kecil, Second, Jimat ruang. Sebab shape lampu ni bulat & square je. Untuk ruang2 yang kecik sangatla membantu tambah2 kalau letak antara kipas kan. Jimat space. Lepas tu lampu macam ni sangatla energy saving. Boleh nampak sebab bil elektrik kiteorang lebih murah berbanding duduk rumah sewa dulu. Untuk ruang tamu & ruang makan pakai downlight LED untuk ceiling.




Master bedroom pakai 2 ketul je lampu ni




Ruang Pintu masuk

Range harga lampu LED ni kiteorang beli dalam RM 20 -RM 30++.

 *Untuk gambar lampu LED downlight dalam bilik boleh refer dekat gambar kipas dekat bawah

Untuk lampu hiasan tak beli banyak sangat. Beli yang mana untuk gantung dekat atas je sebab senang nak buat wiring siap2 kan. Just beli lampu untuk meja makan, counter bar & dekat luar rumah ( depan entrance gate).


 Simple je lampu meja makan ni. Harga pun murah je. RM 89 kalau tak silap. Lampu ni pilihan husband.


Dan kiteorang memang akan on lampu ni setiap kali makan malam. So memang function lampu ni memang bukan sekadar hiasan. Sebab memang hari2 akan on time dinner.

Lampu bar counter. Lampu ni paling pening nak pilih sebab rasa semua lampu dekat sana cantik2. Kelabu mata ni ha..Last pilih yang ni. Yang kelakarnya, salah beli bulb lampu. Sibuk sangat nak semua bulb LED terlupa yang ni patutnya ambik yang jenis clear bulb. Kihkih. So takpe, nanti baru beli bulb yang clear tu ganti . Baru la nampak klasik =)




Lampu ni harga RM 100++.

Untuk lampu luar lagila murah kiteorang beli. RM 49 je. Lupa nak snap gambar. Nanti saya update semula gambar dekat sini. Bulb lampu hiasan pun semua ambik yang LED sebab nak jimat elektrik. cuma warna lighting je ada yang putih & oren.

Pasal lampu tak kisahla nak pakai macam mana tapi mentol better ambik yang led. lepas tu kena tengok watt lampu jugak. Ada setengah lampu watt sikit jer tapi cahaya dah cukup terang. Ada setengah lampu guna jumlah watt yang banyk. so, memang kurang economical la. Apapun pilihla yang menjimatkan tenaga & design ikut citarasa nasing2.

KIPAS 

Bab kipas, kiteorang tak meletakkan pasal “brand” popular sangat time pilih ni. Sebabkan dah ada pengalaman guna kipas brand Panasonic & KDK, so untuk rumah sendiri nak try brand lain pulak. Dua2 ada pro & cons pada mata kami. Mula2 memang nak pilih kipas KDK sebab hasil pengalaman sendiri memang tahan lasak cuma ada certain model,  motor dia  agak “bising” sikit.  Satu lagi  sebab design kipas KDK tak berapa nak “berkenan sangat ” dekat mata saya dan husband. If yang kami berkenan & macam spec kami nak, harga luar bajet la pulak. huhu…hasil survey pengalaman orang lain, kawan2  & officemate so kiteorang beralih la pada brand alpha. Sebab harga lebih murah & ada banyak design cantik2. Walaupun kipas tu setakat berputar dekat atas, ada beberapa faktor penting yang kena titik beratkan masa pilih kipas.

-Tahan lasak
-Warranty lebih dari 3 tahun
- Maintainance service yang ok (senang nak panggil maintainance bila kipas problem ke apa)
-Angin sejuk & best ( Klu boleh nak yang 5 level speed angin)
-Bunyi Senyap
-yang pakai Remote control.
-Cantik di mata kami. hihihi.

Kipas 3, 4 atau 5 blade??

Ramai orang pening nak pilih berapa blade kipas ni. Samala saya dulu. Ingat lagi banyak blade lagi sejuk  anginnya. Kihkih…padahal yang sebenarnya ikut keluasan kawasan. If kawasan yang besar elok pakai yang 3 blade. Sebab angin lebih menyeluruh pada space yang besar.  Kalau yang kawasan kecik sikit ambiklah yang 4 atau 5 blade.  Angin lebih tertumpu di bahagian bawah. Sebab rumah kiteorang kecik, kiteorang ambik yang 5 blade semuanya. Lepas tu semua 5 speed level. Jenis dasar penakut “kepanasan di rumah” terutamanya bila sampai time el nino nino. Hihi..Maklumlah belum ada bajet nak beli air cond. Mampu buat wiring air cond saja dlu. Sebelum tu, kiteorang  dah test dulu kelajuan angin dia dekat kedai dan rasanya mmg sejukkk…...

Nila kipas pilihan hati kiteorang untuk rumah kecil kami

Ruang Tamu & ruang Makan




Untuk ruang tamu & ruang makan kiteorang pilih design yang sama je. Warna hitam. Sebab dah insaf pakai warna putih senang nampak kipas kotor. lepas tu yang ni senang nak bersihkan sebab material blade dia jenis yang senang nak cuci. Kiteorang pilih kipas ni salah satu sebab dia ada "wind speed" so angin dia mmg sejuk. lepas tu kalau fefeeling macam nak rasa angin sempoi2 tepi pantai boleh pilih "natural wind"...rasa macam angin dekat tepi pantai je. Tak de dengar bunyi lansung kipas ni. Senyap je. Ada lagi beberapa function lain yang best. Overall, memang puas hati sangat dengan kipas angin ni selama 4 bulan pakai. Hihi..hopefully akan terus berpuas hati untuk tahun-tahun seterusnya.

Harga RM 400++. beli dekat house of lighting puchong.


Ruang Makan



Master Bedroom

Untuk master bedroom, kiteorang pilih yang harga lebih murah sikit tapi ada "wind speed". Yang ni pun sama ada macam2 function macam kipas dekat ruang tamu & ruang makan. Tapi harga lebih murah. RM 300++. Puas hati sebab sejukkkk...lepas tu bunyi senyap je.





Bilik ke-2 & ke-3

Untuk bilik ke-2 & Ke-3 kiteorang ambik design yang lebih simple harga lebih murah sebab bilik lebih kecil & jarang guna sangat. Tapi tetap nak yang 5 blade & ada 5 speed level. Tapi yang ni takde "wind speed" la. Tapi angin tetap sejukkk. Best. Ikutkan bilik ke-3 nak ambik baby fan sebab size bilik ke-3 mmg kecil tapi sebab risau macam kecik sangat baby fan ni so ambik yang size biasa. Last bila nak pasang dekat bilik rasa menyesal tak ambik yang baby fan! haha...sebab rasa besar pulak kipas tu dengan bilik yang kecil. Tapi still ok je nampak bila dah pasang. Baby fan tu sejukk kot. so korang nanti kalau ada bilik yang kecil bolehla try beli baby fan! . Untuk Warna, kiteorang pilih warna silver sebab masa tu stock warna hitam dah habis. Ok jugak warna silver dekat mata kiteorang ni.

Bilik ke-2


Bilik ke-3


Harga kipas ni RM 200 ++ .

Brand alpha ni diorang punya maintenance service pun ok dan cepat. Hari tu kipas tak berpusing lepas pasang, orang wireman kata kipas yang rosak. So panggillah orang maintainance dia datang tengokkan. Fast response. senang je buat appointment.  Dia datang terus ke rumah. Kita just tunjuk resit belian je sebab warranty diorang 3 tahun. Tapi bila datang check, ok je kipas berpusing bila diorang on guna generator diorang bawak . Wiring je ada salah sikit. So, orang wireman kena betulkan sikit wiring yang dia buat. so saya puas hati dengan service maintainance diorang.


Dapur

Disebabkan ada pengalaman rasa "panas" masa tengah prepare barang2 nak masak dekat dapur masa duduk rumah sewa dulu, so saya bertekad rumah sendiri harus ada kipas dekat dapur. Lantakla dapur rumah kecikpun. tetap nak letak kipas. Malas nak letak kipas jenis stand tu. So, sebab ruang terhad, saya decide untuk letak kipas dinding je dekat dapur.




Tadaa!! beli kipas brand panasonic untuk dinding. Harga RM 100++ saja. Malas nak beli jenis remote control sebab bukan tinggi mana pun gantung. So ambik yang biasa saja.

Budget 

Berapa bajet nak beli lampu kipas untuk rumah apartment ni?

Macam saya cakap hari tu overall harga untuk beli semua kipas & lampu termasuklah lampu hiasan & bulb dalam RM 2600. Tapi jumlah ni pun bergantung pada brand & berapa unit kipas dan lampu kami beli untuk rumah kami. Apa2 memang kena survey harga so dari situ boleh letak bajet kita untuk beli lampu & kipas ni. Kiteorang pun survey dulu harga lampu & kipas before rumah dapat kunci so boleh agak overall bajet.  Lagipun, kiteorang memang banyak buat wiring tambahan untuk lampu & kipas ni.

Apa-apapun betterlah merancang dari awal. Bab wiring & beli lampu kipas sangatla berkait rapat. Kalau rasa nak pasang lampu hiasan ke, spotlight ke dekat rumah better lukis plan siap2 atas kertas. Sama jugak dengan tambahan lampu. So, buat wiring awal2 . Lampu kalau takde bajet takpe boleh beli kemudian. Bagi ada yang basic je dulu. Tapi wiring tu penting untuk buat dulu (kalau nak yang jenis tanam dalam). macam kiteorang ni la. Wiring aircond dah buat dulu untuk bilik & ruang tamu. Tapi air cond tak beli pun lagi. Tunggu benda2 penting settle dulu baru la kumpul bajet untuk beli air cond pulak. Buat masa ni memang dah rasa sejuk & tak perlukan air cond lagi. Hihi..

ok, tu jela serba sikit yang saya boleh share. Ambik masa yang lama untuk upadate walaupund dah settle benda ni semua dari bulan 5 lagi. 4 bulan baru nak berupdate. Huhu..Lepas ni saya try habiskan cepat semua entri berkaitan house renovation yang terperam dekat draft tu. In sha Allah..

*semua lampu & kipas kami beli dekat House Of Lighting Puchong.

Wednesday, September 14, 2016

Anak- Rezeki Dan Amanah

Just nak cerita sikit pasal kejadian beberapa hari ni yang buat jiwa saya sebagai seorang ibu tersentuh. Masa tengah on the way balik kampung sabtu lepas, tiba-tiba dapat mesej dari salah seorang customer by Adeenda yang baby dia baru meninggal. Ya Allah..sedihnya rasa sebab customer saya ni baru je beberapa hari beli barut baby dengan saya untuk kali ke-2. Baby dia meninggal dalam tidur. Secara tiba2 takde sakit apa pun. Tapi, Allah lebih sayangkan dia kan. Dia mintak saya doakan dia kuat dengan dugaan ni. Customer saya tu siap send gambar "anak syurga" dia pakai barut baby saya jual. Sedih..sebak sangat rasa masa ni. Saya daoakn dia kuat semangat. Hanya mereka yang terpilih saja yang Allah uji dengan "kehilangan" ni.

Semalam, balik dari kenduri korban dekat kawasan apartment kami. Time sesi pillow talk kami suami isteri, husband cerita dekat saya pasal jiran kami (blok lain) yang anak dia baru meninggal masa bulan puasa hari tu. Sedih sangat cerita dia, anak dia baru setahun masa meninggal tu sebab ada jangkitan kuman dalam darah. Sedih sebab tu anak sulung. Sedih sebab anak dia seorang je. Sedih sebab dia tunggu kehadiran anak tu lepas 2 tahun diorang berusaha untuk dapatkan anak barula isteri dia pregnant. Dia rasa bersalah sebab lambat dapatkan rawatan dekat PPUM. Sebab mula2 pergi private hospital. 4 hari dekat sana baru DR mintak transfer ke PPUM sebab diorang takde ubat dekat anak dia. beberapa hari anak dia struggle dekat ICU lepas tu dah baik sikit dah boleh balik rumah. Lepas sebulan, anak dia demam balik. Bawa ke PPUM, kemudian esoknya meninggal. Diorang tak boleh terima bila anak diorang takde mualanya, isteri dia lebih2 lagi. Hari2 balik kerja akan pergi kubur anak dia. Baju terakhir anak dia pakai pun sampai sekarang tak basuh. Jadi teman tidur diorang. Sekarang je suami dia rasa kuat sikit & boleh terima apa yang jadi. Cuma isteri dia jer yang still masih lagi bersedih dan susah nak terima apa yang jadi. Sebab masih baru kan. Masa sembang tu, dia tak putus2 nasihatkan husband saya jangan "terleka" sikitpun jaga anak. Kalau sakit berpanjangan if pergi private tak ok, terus ke Government hospital. Jangan leka jaga amanah Allah bagi. Bila Allah nak ambik balik, bila2 dia boleh ambik. sebab anak ni cuma pinjaman. Dia cakap masa dia hari2 pergi kubur anak dia pun, ada seorang lelaki yang selalu pergi kubur anak dia. Sama macam diorang. Lelaki tu asyik cakap menyesal dan bersalah dekat anak dia. Anak dia pun umur dalam setahun macam tu. meninggal sebab terjatuh kolam renang dekat rumah. Kecuaian dia sendiri. Rasa menyesal dan bersalah tu tak tau nak cakap macam mana. Takkan hilang. Tapi nak buat macam mana, anak dia dah takde. Kena usaha redha dengan ketentuan Allah. Nak ubat rasa hati, hari2 dia pergi kubur anak dia (T_T).

Hari ni, masuk berita yang baby 1 tahun meninggal sebab terkunci 5 jam dalam kereta. Allah...saya rasa sedih dan sebak sangat. Saya taknak cakap apa2 pasal ni sebab tak tahu macam mana situasi sebenar parent dia. Kitapun tak sesempurna mana jaga anak. kadang2 ada jugak terleka, cuma masih bernasib baik sebab Allah masih bagi kita peluang untuk terus bersama dengan anak. Huhu... Tapi sebagai manusia, sebagai parent, beringatlah selalu. Jadikan kisah mereka ni satu pengajaran. Supaya kita tak buat kesilapan yang sama.


Semalam pun tetiba je nangis lepas dengar cerita husband. Terus peluk Fayyadh yang tengah tidur kuat2. Saya cakap, "anak kita sorang ni je abang. Kalau jadi apa-apa dekat Fayyadh sayang pun tak kuat". Samalah husband pun. Sebab nak dapat anak pun bukan mudah.  Orang lain bertahun tunggu nak dapat anak. Ada yang masih tak putus2 berikhtiar nak dapatkan zuriat. Kita yang dah Allah amanahkan rezeki ni, jagalah anak betul2. Huhu...

Anak...Bukan untuk dibanggakan pada orang lain yang kita punya anak.
Bukan untuk jadi sebab  untuk kita rasa riak kalau ada anak yang comel, pandai, bijak & soleh.

Tapi untuk disyukuri, disayangi ,dijaga & dididik sepenuh hati agar sama2  dapat bertemu di syurga selepas mati kelak. Anak ni peneman & penyeri hari2  kita yang tak ternilai harganya. Hubungan yang takkan putus sampai bila-bila. Dunia akhirat dia anak kita. Dan dunia akhirat jugak kita ibubapa dia (T_T).

Sebab tu hargailah apa yang kita ada. keluarga, suami, anak, parent..adik beradik semuanya pinjaman. Rezeki yang Allah bagi. Bahagiakan mereka selagi boleh. Sayangi mereka sepenuh hati. Sebab kita tak tahu berapa lama Allah pinjamkan insan kesayangan ini untuk kita. Spend our quality time together.




Thursday, August 25, 2016

4 tahun sudah...Happy 4th Anniversary =)

25.08.2012- 25.08. 2016.

 Kejap je rasa dah 4 tahun dah pun. Sebabkan dari dulu memang akan up satu entri pasal "ulang tahun  kita" ni, so tahun ni buatlah jugak satu entri.

Alhamdulillah...genap 4 tahun dah perkahwinan kami.  Syukur. Tu je yang boleh saya cakap. Bersyukur sangat2 dengan apa yang Allah dah beri pada saya selama ni. Syukur dengan  kebahagian, rezeki & setiap ujian yang kami terima selama tempoh ni. Semoga perkahwinan ni sentiasa dalam redha & dipelihara Allah swt selalu dan dapt berbahagia hingga ke jannah. Amin..











Thursday, August 11, 2016

Rawatan Akar gigi: Review Klinik Pergigian Prime Setia Alam

Kisah 4 bulan lepas, baru sempat nak meng update dekat blog. Busy benor tuan blog ni sampai nak taip 1 entri pun makan masa banyak hari =P. Tapi, at least ada jugak update kan even lambat sikit.

Ok, balik pada tajuk asal. Cerita pasal klinik gigi. Sebenarnya, dari last year lagi dah rasa tak selesa dekat 2 batang  gigi depan ni ha. Rasa macam gigi nak tertanggal pun ada. Kadang2 siap termimpi-mimpi lagi gigi depan ni patah. Serammmm......Kalau gigi belakang patah ke, tercabut ke, takpelah jugak. Orang tak nampak. kalau gigi depan? Mau tak pasal2 orang panggil "nenek" . Tua sebelum usia. (dahla sekarang pun dah nampak tua dari usia sebenar, kalau gigi depan takde lagi-lagilah bertambah ke"tuan" diri ni. Oh NO!NO! ).

Sebenarnya, saya dah refer klinik government dah. Ikutkan kena buat balik rawatan akar dekat gigi depan ni sebab dah nampak tak sihat. Sebelum dia mati & sebelum jadi dicabut & jadi  rongak eloklah buat rawatan akar. Tapi sebab klinik saya pergi tu tak boleh buat treatment at the same day. Kena by appointment & ada hari tertentu, dengan x-ray pun takde so malas nak buat. Dr just bagi antibiotic saja untuk kurangkan rasa sakit. Tapi dalam hati dah pasang planning nak buat dekat private je. Sebab senang boleh pergi weekend saja.Malas nak buat appoinment & follow up time weekdays.  Sebab bila kerja, bukan banyakpun cuti. Kalau ambik time off pun setakat 2 jam je boleh. Tupun masa menunggu memang lebih dari 2 jam campur perjalanan semua. Campur rasa takut sebab pernah ada bad experience pasal gigi, lagilah cuba nak ngelat. Takut sejarah berulang. sobs..Rasa macam nak try private la pulak kali ni walaupun kena keluar lebih duit. Huhu..

Tapi, sebab tak tahu klinik mana yang ok, so asyik tertangguh je rasa hati tu sampaila satu pagi tu, rasa gigi depan tempat yang kena tampal tu serpih. Terus risau tahap gaban. (T_T). Menyesal tak sudah2 sebab tak jaga gigi betul2.Risau betul kalau hilang gigi depan ni. Huhu....time ni dah terbayang-bayang muka senyum nampak gigi rongak. Kihkih.....takutnya.So, masa tu plan nak pergi klinik dekat rumah je. Baca review sikit2, so saya pilih ke klinik Pergigian Prime Setia Alam.

Inilah kliniknya.,...dekat pusat komersial setia alam. Deret kedai yang depan sekali. sebaris dengan Bank RHB, Hong leong Dan bank2 lain. Tapi klinik ni sebalah Am bank je. Dekat tingkat 1




Oh ya, nak ke sini still kena buat appointment. Tapi time saya datang tu, weekdays. Kebetulan cuti jaga Fayyadh yang demam. So, buat appointment petang, mintak husband jagakan Fayyadh sebelah petang & saya ke klinik. Datang sorang jela sebab husabnd kena jaga Fayyadh tak sihat masa ni. 

Waktu operasi Klinik




Lokasi klinik dekat Tingkat 1. Dekat tingkat atas farmasi Health Lane

Hari saya datang, tak ramai pun orang. Tak sempat nak snap banyak gambar sebab sibuk melayan rasa tak selesa dekat gigi. Ni sikit tempek gambar

Kaunter Registration







Bilik Rawatan



Saya plan nak buat scaling sekali time ni. Ha...punyala lama tak buat scaling gigi kes takut datang klinik. Hihi.. . last buat masa dekat university dulu.Lepas tu non ado. Teruk betul. Haha.. Dah bertimbun plaque dalam gigi ni ha baru sibuk nak datang cuci. Even hari2 kita gosok gigi macam biasa & kumur pakai listerine pun still kena datang buat scaling dekat klinik gigi sebab segala plaque lagi mudah dibuang. Seriau jugak sebab gigi sensitif kan. Tapi demi kesihatan & kebersihan gigi ku redahla jugak.

Nak review yang doktor gigi dekat klinik ni baikla sangat. Suka2. Tak menyesal datang. Sebab doktor baik & lembut je bila bercakap. Takdela risau kena bebel la apa sebab tak jaga gigi. Huhu..Baik siap terangkan satu2 pasal root canal ni siap tunjuk gambar lagi. Tapi sebab dah lama punya cerita, dah lupa apa dr cakap. Hmmm... ;). Dr ni perempuan. Muda lagi. Dalam 30-an rasanya. Dia buat x-ray dulu dekat gigi yang sakit sebab nak make sure yang 2 gigi yang kena bat root canal (rawatan akar) atau 1 gigi je. So, lepas x-ray, 1 gigi je yang kena. Alhamdulillah....maybe sebab saya pernah jatuh masa main netball dulu, so gigi tu nampak macam kesan pernah cedera. Mungkin sebab tu jugak yang akar dia jadi tak berapa kuat. Campur infection lagi, So, kenala buat root canal supaya gigi sihat semula.

Apa tu root canal?

Hah..tak tahu nak describe macam mana. Yang saya tau rawatan akar ni diorang akan tebuk gigi kita, keluarkan segala kuman yang ada, yang menyebabkan berlakunya infection pada gigi, lepas tu masukkan ubat untuk kuatkan akar gigi semula. Lebih kurang macam nila bunyi ayat yang tak  saintifik. Nak yang scientific sila pergi google. Takpun fahamkan proses dari gambar bawah ni..





proses rawatan akar ni kena datang 2 kali. First treatment masa first day saya datang tu. masa yang first ni just buat temporary filling & crown je.  Kali kedua kena datang pulak lepas seminggu. untuk masukkan permanent filling. Masa ni doktor cuci jugak sekali lagi.

Sepanjang proses tu memang tak sakit sebad doktor memang dapat ubat kebas. Kalau tak, mau meronta-ronta..hahaha...proses scaling gigi pun tak sakit. Samala yang tampal pun. Selesa sebab dr baik, lepas tu lembut buat kerja. Memang highly recommended la. In sha Allah lepas ni pun nak datang sini je tiap kali nak buat scaling gigi. Dah janji dengan diri sendiri setiap 6 bulan paling lambat, nak datang buat scaling. Nak jaga gigi elok2 sebab taknak jadi macam ni lagi...Huhu..insaf (T_T)


kos scaling gigi bergantung pada keadaan gigi. Apa2 kos pun bergantung pada condition gigi kita. Macam saya hari tu scaling gigi kena RM 90 je.  Lepas buat memang rasa bersih jer gigi. Nampak putih la sikit sebab dah polish sekali. Sayang pulak nak makan lepas tu. Haha...(statement sayang gigi la sangat). Untuk rawatan akar lebih Kurang RM 350. Phew....rawatan akar ni la paling mahal. Tapi memang standard rate macam tu. Huhu...Takpela, melayang duit untuk kesihatan gigi. Kalau tak dirawat lagi naya. Taknakla nanti kena pakai gigi palsu muda2 bila gigi depan ni takde.Huhu.. Kalau biar kang, Umur 29 tapi rupa dah macam nenek bercucu 1. Kihkih..tak sanggup (T_T)

Apapun. saya suka klinik gigi ni.Walaupun duit banyak jugak sekali keluar tapi berbaloi untuk jangkamasa panjang. Lepas 4 bulan buat treatment ni alhamdulillah gigi depan ni dah ok. takde lagi rasa sengal bisa ke apa. Hopefully okla sampai bila2. Amin.. Tapi kena jaga gigi la. kalau tak jaga, mesti jadi balik. Buat treatment sampai beribu pun kalau tak jaga elok2 memang takde guna jugak. So, imah, silalah insaf .huhu...

So, jomlah Jaga gigi elok2 !


Monday, August 1, 2016

OurBaitiJannati- House Renovation Update- Beli Lampu & Kipas Rumah Di House Of Lighting Puchong

Ok, bab kipas dan lampu untuk rumah kecil kiteorang ni. memang kiteorang takde survey sangat pun. Before dapat kunci rumah dulu, kiteorang just jalan-jalan pergi kedai lampu dekat-dekat jer. Just nak survey harga & buat bajet sendiri.Sebab kalau tak survey memang tak boleh nak agak berapa bajet untuk satu rumah untuk pasang lampu & kipas.

Disebabkan banyak yang bagi feedback tempat femes ames untuk beli lampu dan kipas adalah dekat House Of lighting Puchong, kiteorang memang aim nak pergi sana jer terus. Untuk lampu & kipas ni, kiteorang beli awal sikit. Dalam seminggu lebih sebelum dapat kunci rumah. Taknak beli awal sangat, sebab setiap item yang ada warranty ni diorang kira warranty dari tarikh kita beli. So, bila dah ada ura2 nak dapat kunci, terus kiteorang gi beli dekat sana. So, nanti bila dah dapat kunci rumah dah boleh proceed untuk renovate terus je.

Dekat mana House of lighting ni? Ok ni address nya:




Address : 

29-31-33-35, Jalan Bpu 6, Bandar Puchong Utama, 47100 Puchong, Selangor, Malaysia

Busines Hours : 
    
Selasa Hingga Jumaat :10:30PG–8:00PTG


Sabtu10:30PG–8:00PTG

Ahad
12:00–5:00PTG
Isnin                            : Tutup

Nak senang, korang waze aje. Lagi mudah nak sampai ke sini =).

Kalau bab beli lampu kipas, sini memang banyak sangat choice. Sampai naik pening tak tau nak pilih yang mana satu. Hihi,...semua cantik2. Semua nampak menarik. Tu belum campur lenguh leher ni haa...asyik mendongak jer tengok lampu & kipas.hihi..

Kiteorang plan nak beli kipas & lampu untuk setiap area rumah dekat sini. Lampu downlight untuk plaster ceiling je kiteorang tak beli. Sebab ambik dengan contractor buat plaster ceiling. Sebab harga dia bagi murahla jugak. Tupun, sebab plan ambik yang simple jer. 

Untuk pengetahuan korang, sini kalau weekend memang ramai sangat-sangat orang. Rasa macam majoriti yang tinggal area klang valley ni datang beli lampu & kipas dekat sini. Memang crowded. Siap kena ambik nombor lagi ok time nak bayar. Tapi jangan risau sebab bagi saya service diorang cepat & efficient. Staff dia ramai yang boleh assist kita ikut bahagian.

Kiteorang pergi pagi2. Time dia baru nak bukak kedai. Dapat parking pun betul2 depan kedai. Alhamdulillah...Tupun orang dah ramai dah datang masa nak buka tu. Cuma tak crowded la..still selesa nak pilih lampu & kipas. Bila time  kiteorang tegah tunggu nak bayar baru ramai gila.

Ok..belanja sikit gambar masa kiteorang dekat sana

Banyak betul lampu dekat sini

Time kiteorang tunggu dia ambik stock barang2 kiteorang nak beli orang dah mula ramai =)

Koleksi kipas yang ada dekat sana. Macam2 brand ada


Suka sangat tengok kipas macam ni. Stylo sangat. Cantik!! tapi harga pun cantik (T_T)




Tak susah sebenarnya nak beli barang dekat sini. Even ramai orang, tapi staff dia ramai. Better datang awal kalau nak beli time weekend. Nak lebih selesa, pergi weekdays. Oh ya, dekat sini staff diorang ada specific tugas masing2. Ada yang bahagian promoter, bahagian ambik stock, bahagian check barang (testing), bahagian pembayaran & bahagian angkut barang ke kereta customer. Pendek kata, urusan jual beli dekat sini rasa smooth je. Takdela sorang staff tu je nak buat semua. Kita boleh kenal diorang bahagian mana dengan warna T-shirt diorang pakai. Kalau yang warna kuning tu yang layan customer, kira promoter la yang assist kita nak beli itu ini. Yang bahagian testing barang tu pakai  warna biru. Semua pakai T-shirt House of lighting. Siap ada nombor lagi dekat baju. Warna je tak sama sebab ikut tugas masing2.




 Satu lagi, dekat sini pun ada vending machine in case korang dahaga air kan. yelah, makan masa berjam jugakla nak settle semua. Nak pilih 1 barang pun bukan boleh decide seminit dua. Tambah kalau yang nak beli macam- macam barang macam kiteorang ni. Memang makan masa berejam jgk la..



Time nak bayar je kena ambik nombor. So, lepas settle test semua barang, just tunggu untuk buat payment saja. Settle semua, ada orang yang tolong angkut dan susun barang kita dalam kereta. So far, puas hati beli dekat sni. Banyak pilihan, harga pun consider murah & berpatutan. Senang sebab semua benda ada dalam 1 tempat. Harga diorang memang harga tetap. Apa yang kita nampak dekat tag lampu & kipas, harga tu la kita bayar. Tapi ada jugak setengah item yang ada diskaun. yang tu kena tanya promoter dia.

Ni hasil membeli dekat sana. Penuh bahagian belakang kereta. Hihi..



Total habis dekat sini RM 2600 untuk lampu & kipas satu rumah. Puas hati sebab masih dalam bajet kiteorang.

Hmm..Harga ni pun ikut brand & quantity barang jugak. Ada brand yang lebih murah & ada yang lebih mahal. So, dekat sini macam2 pilihan ada. Dari yang murah sampaila yang mahal. Kira sesuai dengan bajet masing2 la.

Apa kiteorang beli? In sha Allah next entri saya akan update.